
Rasanya kes ni memang dah viralkan sebab aku buka saja FB berlambak orang² yang aku follow asyik post pendapat masing².
Aku sebagai ex-student prof tu pun aku lambat tahu tentang kes viral ni sedangkan orang lain dah tahu dulu dari aku.
Disebabkan benda pun dah viral, aku pun rasa dah amat sesuai untuk aku luahkan perasaan aku juga sebab sebelum ni aku pendam saja.
Bagi sesiapa yang baca confession aku ni, aku tak tulis untuk memihak pada siapa² tapi aku tulis cuma ikut apa yang aku rasa dan fikir saja.
Jadi jangan salah faham.
Seingat aku dah 5 tahun aku tinggalkan subjek dan prof tu sebab aku ambil kira dari waktu sem tu sampailah aku dah habis belajar. Prof tu memang mengajar student degree, master dan phd.
Aku tak ada pengalaman atau pernah dgr cerita macam mana dia ajar pelajar master dan phd tapi aku ada pengalaman sebagai pelajar degree.
Aku degree lepasan STPM bukan dari matrik, asasi atau diploma terutamanya.
Prof ni sebenarnya lagi terkenal dengan student² diploma termasuklah lecturer² sendiri sebab ramai lecturer yang dah jadi pelajar prof ni dari zaman mereka diploma dan degree sebelum mereka jadi lecturer pun lagi.
Jadinya hampir semua lecturer dan satu fakulti dah tahu perangai prof ni macam mana tapi semua orang diamkan saja.
Aku amat pelik macam mana student tu boleh berani viralkan sebab kami senior², alumni dan para pensyarah sendiri pun tak pernah buat tindakan ni.
Bukanlah aku nak biasakan budaya toksik tapi aku sendiri pun selalunya cuma melarikan dan menjauhkan diri saja dari bertembung dengan prof tu.
Aku tak tahu nak kata cara student tu betul atau salah tapi aku bangga dengan keberanian dia. Bagi aku cara dia betul nak tegakkan kebenaran dan luahkan perasaan tapi salah dengan buka aib dan viralkan.
Tapi kalau fikir dari sudut lain pula, kalau tak viral macam mana orang nak tahu sebab zaman sekarang ni lepas dah viral baru ada tindakan.
Bagi pihak prof pula betul dengan kata² dia tu sebab dia bagi tahu kenyataan tapi salah dengan cara dia yang menghina dan merendah²kan orang lain. Aku harap ada penyelesaianlah nanti.
Sekarang ni berbalik pada pengalaman aku masa belajar dulu. Aku jumpa prof ni masa sem 3 degree dan prof ni mengajar subjek construction economic 2 sambungan kepada construction economic 1 sebelum tu.
Cara prof ni mengajar ialah setiap orang mesti ada 2 buku text tebal dan satu buku nota panjang bergaris.
Aku tak kisah tentang buku nota tu tapi aku tak suka 2 buku text tebal tu sebab teramat berat bagi aku. 2 buku text tebal tu memang perlu dibawa pada setiap kelas dia dan tak boleh tertinggal atau tak ada salah satu darinya.
Aku rasa menyampah nak bawa buku tu lagi² kalau kelas dia petang sebab aku terpaksa mengusung buku tu kemana saja dari pagi sampai petang sebab aku tak ada masa nak balik ke kolej masa tengah hari nanti lagipun prof ni tak suka orang masuk kelas dia sama waktu atau lagi lambat dari dia.
Kalau masuk kelas dia pula, dia memang dari dulu sebelum covid pun dia memang tak suka pelajar dari STPM dan pelajar dari golongan B40. Bayangkan betapa ramainya golongan B40 yang dtg dari STPM di UITM tu?
Sebab tu hari² dia mengajar kelas aku dan dia tak lupa untuk kata dia benci dengan kelas aku berbanding kelas satu lagi yang pelajarnya dari asasi dan matrik.
Pelajar STPM bukan tak pandai tapi kebanyakan dari kami bukan direct dari aliran sains. Kalau SPM aliran sains sekalipun tapi STPM mesti aliran kemanusiaan sebab tu prof tu benci. Dia kata kos aku ni sesuai untuk pelajar² pandai saja.
Dalam kelas dia, 2 buku text tebal tadi tu memang jarang guna, kalau nak tulis dan tekan kalkulator kena laju, mata kena sentiasa pandang papan putih dan kalau lambat mesti dia dah padam.
Lepastu dia akan bagi latihan dan secara random, hari² dia akan panggil nama atau tunjuk orang yang dia nak suruh jawab soalan. Kalau tak boleh jawab atau salah jawab memang kena maki punyalah.
Selalunya dalam kelas dia mesti hening saja suasana sebab kami nak bernafas pun tertahan². Antara makian yang aku ingat dia pernah bagi tahu pada kelas aku tu kan ialah “bapak kau kerja apa? Eh kau orang terengganu kan? Mesti bapak kau kerja nelayan.
Aku memang tak suka sangat dengan orang terengganu ni sebab bodoh. Tengok muka pun tahu bodoh”. Satu lagi pula “eh kau yang tudung labuh acah alim tu jawab soalan ni sekarang. Aku benci tengok orang tudung labuh acah alim ni”.
Aku juga pernah kena tegur dengan dia masa jawab exam untuk subjek lain bukan subjek dia tapi dia yang jaga dewan masa tu. Dia marah aku menulis sambil letakkan kepala atas meja.
Aku bukan saja² buat macam tu ada ngantuk ke apa tapi tengkuk, pinggang, belakang dengan tangan aku dah sakit sangat sampai aku terpaksa menulis dengan cara macam tu. Malu jugaklah tapi nasib baik prof tu tak menjerit satu dewan tu.
Aku bertuah sebab tak pernah dipanggil nama atau ditunjuk untuk suruh jawab soalan. Tapi aku tak bertuah sebab aku failed subjek dia.
90% kawan² dalam kelas aku lulus subjek dia sebab takutkan dia punya pasal. Stress aku fikirkan nak kena repeat subjek dia. Akhirnya aku buat keputusan tangguh repeat.
Masa aku praktikal, aku dapat berita yang sem aku praktikal tu dia tak mengajar sebab ada hal lain. Melepaslah peluang aku untuk repeat sem tu. Bagi sesiapa yang tak faham, kos aku praktikal di tengah² sem bukan di akhir sem.
Jadinya naik sem nanti aku kena fikir sama ada nak repeat ke tak, kawan² aku nasihatkan aku repeat tapi aku tangguh lagi keputusan aku masa sem tu sebab dia mengajar balik sem tu dan tiba² tahun depannya pula covid melanda.
Aku rasa bersyukur dapat belajar dekat rumah dan berani untuk repeat subjek dia tapi dapat lagi berita yang dia dah pencen. Aku memang bersemangat nak repeat malangnya subjek aku banyak yang berat sem tu.
Akhirnya aku pilih untuk extent sem untuk repeat subjek dia dan subjek yang aku ada drop sebelum ni.
Kos aku sebenarnya ada 7 sem dan praktikal di tengah² untuk satu full sem sebelum tahun 2020. Tapi selepas 2020, kos aku dah diperbaharui dengan banyak subjek² yang menarik, susunan subjek setiap sem pun dah berubah, aku rasa pun praktikal dah diakhir sem.
Aku pun tak ingat sangat sebab hanya pelajar baru saja yang diterangkan tentang struktur pelan pengajian baru. Pelajar² lama hanya tahu sipi² saja.
Berbalik kepada isu prof tadi, seingat aku yang prof tu dah pencen dalam tahun 2020 jadinya macam mana dia boleh mengajar semula?
Student yang viralkan tu pelajar student diploma ke sebab ambil subjek tu masa sem 5 ataupun pelajar repeat? Ke atau student tu pun dah graduate dan baru sekarang berani nak viralkan?
Sebelum aku habiskan confession aku ni, aku nak kongsikan sikit kisah prof ni. Masa aku dalam kelas dulu, prof ni ada juga cerita bagi tahu kesusahan masa dia bekerja dulu.
Dia bekerja dengan syarikat cina dan hari² kena maki. Sejak dari tu dia bertekad sungguh² untuk pandai dan dia benci orang yang b0doh
.Lecturer² yang lain pun pernah confirmkan cerita prof ni sebab tu lecturer lain masih sabar dan menghormati prof tu.
Selain dari tu, ada juga lecturer lain termasuk lecturer yang berpangkat prof (yang ni pun dah pencen) perangai yang teruk di fakulti dan mengajar kos aku tu tapi prof ni paling power dari lecturer lain tu.
Jujur aku nak tanya adakah golongan muda sekarang ni terlampau lembik ataupun golongan dulu terlampau kasar? Adakah cara tu toksik ataupun meningkatkan motivasi? Adakah budaya ni perlu diubah ataupun dibiarkan atas sebab jurang dan perbezaan generasi?
Sebelum ni ada post Dr. Malar dilempang guru dan pemangkin semangat untuk dia menjadi doktor. Jadinya kenapa isu maki ni diperbesarkan sangat jika budaya kita sendiri pun lebih kepada toksik positiviti? Renungkan² untuk kita semua jadikan pengajaran.
– Bekas pelajar (Bukan nama sebenar)
kredit: iium.com
Tangkap layar (screenshot) video seorang pensyarah yang tular baru-baru ini.
Berikut reaksi dari pembaca
“Wallahuaklam.. Sepanjang akak belajar dr zaman sek, matriks, universiti, ipg.. Akak tak pernah lagi jumpa guru2 atau lecturer yang toksik.. Syukur sgt2.. Hingga la jadi cikgu sampai skrg.. Mmg tak ada amalkan budaya maki pelajar.. Adab didahulukan..” komen seorang netizan
“I think its time to change the approach method of education. Maki hamun dah tak relevant. Dari video tu aku sendiri boleh rasa prof tu sendiri dibesarkan or belajar and kerja dengan environment maki hamun.
Some says lecturer mmg sengaja maki hamun nak biasakan students bila bekerja lebih teruk maki hamun kena hadap. Why this toxic positivity masih wujud harini?
Dan tak kisah nak marah. Memang perlu sorang lecturer marah student utk disiplin. Tapi perlu ke guna bahasa yang sangat kasar? And even menghina siap kaitkan dengan golongan B40?
Bukan semua orang boleh terima method lecturer tu. Macam confessor sendiri sampai sanggup tangguh sem sebab taknak jumpa lecturer tu?
And I wanna share my story also berdepan dengan lecturer puaka. I sampai kena stroke sbb stress belajar. Same isu. Sbb lecturer garang dan suka maki student sampai student ni takut. And I pulak bukan tak pandai subject dia sebab belajar art and design kena ada skills. Skill I biasa2 je. I punya takut sampai stress end up sampai sakit. Last2 I decided to quit sebab takut kalau teruskan membahayakan diri sendiri..
After quit tu I rasa ya Allah gelap masa depan aku. But Alhamdulillah lepastu I kuatkan semangat sambung degree dalam bidang lain. See nampak tak. Lecturer maybe anggap teguran tu konon nak jadikan anak murid manusia. But end up dia maybe melahirkan lebih ramai manusia toxic macam dia and mematikan semangat orang yang nak berjaya dalam bidang yg dia ajar.
What will happen to future generation?
And tak kesian ke pada student yg maybe tak pandai sangat tapi berusaha nak jadi pelajar cemerlang nk ubah hidup tapi end up terpaksa quit sebab tak tahan dengan sikap lecturer macam ni?
And I also came across ramai orang yg berhenti kerja sebab tak tahan environment maki hamun. And I think semua ni bermula dari zaman belajar yg diasuh dengan cara maki hamun..
See sometimes bukan golongan muda tak bagus. Tapi toxic mentality orang dulu yg membunuh kelebihan yg ada pada anak2 muda
I tak sokong pun tindakan student viralkan pensyarah tu sebab tu pun salah. But when this happen. I believe pihak atasan perlu bukan mata. Buat lah garis panduan baru pada lecturer dalam mengajar.
Sebagaimana utk student diletakkan macam2 peraturan utk berdisiplin, kenapa lecturer tak diajar juga utk berdisiplin menjaga adab dan tatacara mengajar?
Just my point of view.”
Bersuara isu siswa B40 diperlekeh… kata Dr Maza, marah si pensyarah ertinya ada nilai kasih kepada pelajar
Terbaharu Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin turut berkongsi pandangan beliau mengenai isu kontroversi tersebut.
Menerusi satu hantaran di laman Instagram @drmaza_official pada Khamis, Mohd Asri berkata isu berkenaan wajar dilihat secara adil dengan meneliti segenap aspek terlebih dahulu.
“Saya pernah belajar di universiti dan pernah jadi pensyarah universiti. Saya bersetuju bahawa semua kita termasuk pensyarah wajib memilih perkataan yang baik dalam penyampaian dan nasihat.
“Bahasa yang dipilih melambangkan kesopanan yang ada dalam diri kita. Tegas ada batas, garang pun ada sempadan. Bahasa yang buruk, terbit dari kesopanan yang rendah.
“Dalam masa yang sama, kita juga perlu tahu, seorang pensyarah universiti jika sekadar mengira soal gaji, boleh sahaja tidak peduli perkembangan pelajar yang mengambil kursusnya.
Perkongsian Dr Mohd Asri menerusi satu hantaran di Instagram.
“Siapa lulus, dia lulus. Siapa gagal, dia gagal. Gaji pensyarah tidak akan berkurangan,” tulisnya.
Tambah Mohd Asri, bagaimanapun jika seorang pensyarah bersikap tegas dan bersungguh-sungguh menyampaikan ilmu, ia adalah kerana matlamat utamanya mahu melihat pelajar berjaya.
“Ertinya ada nilai tanggungjawab yang lebih dalam diri pensyarah tersebut. Jika dia marah pelajar lewat atau tidak buat tugasan, ertinya ada nilai kasih kepada pelajarnya.
“Boleh sahaja untuk tidak peduli dan beri sahaja markah yang rendah atau gagalkan. Tapi, seorang yang ada jiwa guru dalam dirinya, pasti bukan itu pilihannya.
“Kita wajar adil dalam hal ini. Perkataan yang buruk ditolak, kesungguhan ingin pelajar berjaya satu sikap yang dihargai,” tulisnya lagi.
Pandangan mufti berkenaan rata-ratanya disokong netizen yang menyifatkannya sebagai pandangan bernas daripada seorang tokoh agama yang dalam masa sama mengandungi nasihat untuk iktibar bersama.
“Tepat sekali kata-kata Dr dan adalah adil untuk kita menilai sesuatu dalam aspek baik dan kuang baik,” tulis @puteri_afroze.
Antara komen netizen pada perkongsian Dr Mohd Asri.
“Cergas dan cerdas pandangan dan nasihat. Terima kasih Dr,” komen @reezaziempire.
“Terbaik Datuk Maza. Semuanya ada perspektif berbeza. Kadang-kadang mulutnya laju tapi hatinya baik dan selalu mendoakan dalam diam,” tulis @kopiecafe pula.
Untuk rekod, rakaman video kelas online, memaparkan pensyarah itu memarahi pelajarnya tular di media sosial sejak Selasa malam.
Ia mengundang perhatian pelbagai pihak, dengan majoritinya melontarkan kecaman terhadap pensyarah wanita berkenaan.
Pada Rabu, Universiti Teknologi Mara (UiTM) menerusi kenyataan rasmi memaklumkan akan mengambil tindakan ke atas pensyarah berkenaan.
Menurut Nab Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Roziah Mohd Janor, insitusi pengajian itu sedang meneliti kes berkenaan.
Tambah Roziah, pensyarah wanita itu, Profesor Dr Ts Roshana Takim adalah pensyarah yang bagus dan mungkin berlaku sedikit kesilapan mengenai tindakannya memarahi pelajar berkenaan.
kredit: mstar
Leave a Reply