
Isu makanan mahal semakin menjadi-jadi ketika ini apabila ramai peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga setiap menu dengan mendadak sehingga dikatakan tidak masuk akal.
Ini kerana, mereka memberi alasan harga bahan mentah juga semakin meningkat dan memaksa mereka untuk menaikkan harga jualan bagi mengelak kerugian.
Baru-baru ini tular di media sosial apabila seorang pengguna memuat naik hantaran memaklumkan harga bagi semangkuk mi sup ikan yang dimakan di sebuah restoran di Sibu adalah RM60.
Menurut pengguna tersebut, dia berasa terkejut apabila dimaklumkan harga makanan berkenaan ketika ingin membuat pembayaran di kaunter.
Kemudian, dia memeriksa semula resit yang diberikan serta menanyakan kepada peniaga soal harga makanan yang terlalu mahal.
Balas peniaga itu, mi sup yang dipesan adalah menggunakan jenis ikan patin yang berharga RM190 per kilogram.
Tambah peniaga itu lagi, harga mi sup tersebut memang agak mahal kerana kualiti ikan yang digunakan dan mempersoalkan mengapa pelanggannya itu tidak bertanyakan soal harga pada awalnya.
Sehubungan itu, dia terpaksa menerima harga tersebut walaupun baginya alasan yang diberikan peniaga kurang relevan.
Katanya lagi, ini juga merupakan silapnya kerana tidak bertanya terlebih dahulu mengenai harga hidangan itu sebelum membuat pesanan.
Insiden yang dikongsikan itu telah menerima pelbagai reaksi daripada orang ramai yang rata-ratanya menganggap peniaga tersebut mengambil kesempatan mengenakan harga yang mahal kepada pelanggannya.
“Macam tipu sahaja, jarang la peniaga nak guna ikan patin mahal untuk berniaga, bukan seekor pun dalam mi sup tu, harga semangkuk macam untuk makan lima orang, sebab itu penting untuk peniaga sediakan buku menu kepada pelanggan bagi semak harga sebelum pesan makanan,” luah Fazrina.
“Apa maksud peniaga itu pelanggan tak tanya harga dulu, bukan mereka yang patut sediakan harga hidangan untuk dilihat pelanggan, kiranya kalau pelanggan tidak bertanya, peniaga boleh sesuka hati kenakan harga yang mahal,” komen seorang pengguna
RM60, dikompaun RM300
Caj mi sup ikan patin RM60 semangkuk, peniaga tergamam dikompaun RM300 oleh KPDNHEP
Seorang pengusaha kedai makan di Sarikei yang menjual semangkuk mi sup ikan patin dengan harga RM60 menerima padah lima kali ganda apabila mereka dikenakan kompuan sebanyak RM300.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kementeri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sarikei, Mohamad Zawawi berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai posting pengadu yang tular di media sosial lalu mengerahkan sepasukan pegawai penguat kuasa dari cawangan itu menjalankan siasatan.
Baca: ‘Kedai scammer ni!’ – Pelanggan terkejut mi sup dipesannya berharga RM60 semangkuk
“Ketika disiasat, pengusaha itu mengaku menjual mi sup itu dengan harga yang terlalu tinggi. Malah dia juga gagal mempamerkan tanda harga makanan yang ditawarkan di premis itu. Sekali gus melakukan kesalahan di bawah Perintah Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan 2020,” katanya.
Beliau berkata, kompaun RM300 itu dikenakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan 2011.
Zawawi turut menasihati para peniaga supaya ikhlas menjalankan perniagaan seperti memaparkan tanda harga pada barangan yang dijual bagi membolehkan pelanggan membuat keputusan sebelum membeli. Pelanggan juga dinasihatkan sentiasa membuat semakan harga sebelum membeli atau menempah makanan dan minuman.
Orang ramai juga digesa memainkan peranan mereka dalam melaporkan kesalahan yang dibuat oleh pengusaha dengan membuat aduan melalui portal e-Aduan di e-aduan@kpdnhep.gov.my; Pusat Panggilan di 1800-886-800; e-mel e-aduan@kpdnhep@gov.my; atau hadir di pejabat cawangan yang berhampiran.
Sumber: The Borneo Post
Leave a Reply