
SEREMBAN: Selepas kehilangan anak kedua ketika bayi akibat komplikasi kesihatan pada 2020, pasangan itu berdepan ujian perit sekali lagi apabila anak bongsu mereka meninggal dunia semalam.
Terdahulu dalam kejadian kira-kira jam 3 petang, Nour Rania Asyifaa Yuseri berusia 15 bulan ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri selepas dipercayai lehernya tersangkut di buaian di Taman Nusari Aman 2 Taman Asuhan, Bandar Sri Sendayan, di sini.
Bapa mangsa, Yuseri Yusoff, 39, berkata, dia mengetahui kejadian itu selepas menerima panggilan telefon daripada isterinya yang memaklumkan Nour Rania Asyifaa telah dibawa ke klinik kesihatan Sendayan.
Katanya, ketika itu dia berada di rumah mereka di Bandar Sri Sendayan bersama anak sulungnya yang berusia tujuh tahun.
“Saya bergegas ke Klinik Kesihatan Sendayan. Ketika itu, doktor sedang berusaha memberi bantuan pernafasan kepada anak. Kira-kira 30 minit kemudian, anak sudah ‘tiada’.
“Bayi itu tidak menunjukkan sebarang masalah pada malam sebelum kejadian. Difahamkan, kanak-kanak itu bagaimanapun mengalami kesukaran untuk tidur ketika kejadian, lantas pihak taska menidurkannya dalam buaian.
“Sebelum ini, anak tidak tidur dalam buaian,” katanya ketika ditemui pemberita di Jabatan Forensik, Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), di sini, hari ini.
Yuseri memaklumkan, beliau menghantar mangsa ke pusat jagaan kanak-kanak itu sejak setahun lalu, malah anak sulungnya juga pernah dihantar ke sana sebelum ini.
“Mangsa adalah anak bongsu daripada tiga beradik. Anak kedua juga sudah meninggal dunia ketika masih bayi akibat komplikasi kesihatan.
“Saya menerima kejadian ini kerana perkara telah berlaku. Yang selebihnya, saya serahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan.
“Pihak pusat jagaan ada meminta maaf kepada kami sekeluarga atas kejadian ini. Difahamkan, pihak polis ada merakam percakapan ibu bapa lain yang menghantar anak mereka ke pusat itu,” katanya.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof, berkata mangsa dikata ditidurkan dalam buaian di sebuah bilik oleh pengasuh.
“Hasil siasatan awal mendapati mangsa diberi minum susu sebelum ditidurkan kira-kira jam 12.30 tengah hari. Pengasuh terbabit kemudian dikatakan keluar dari bilik itu kira-kira jam 2 petang untuk melakukan tugas lain.
“Pengasuh dikatakan masuk semula ke bilik itu kira-kira sejam kemudian dan mendapati mangsa berada dalam keadaan kepala tersangkut pada kain buaian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Yuseri memangku jenazah Nour Rania Asyifaa selepas dibawa keluar dari Jabatan Perubatan Forensik HTJ. – NSTP/AHMAD HASBI
Susulan itu, beliau berkata, pengasuh dikatakan terus mengambil mangsa daripada buaian dan melakukan bantuan kecemasan pernafasan (CPR) tetapi gagal, sebelum mangsa terus dibawa ke Klinik Kesihatan Sendayan.
“Mngsa sempat dirawat doktor, namun disahkan meninggal dunia pada jam 4.30 petang oleh doktor bertugas,” katanya.
Nanda berkata, hasil siasatan juga mendapati mangsa dilaporkan dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan bahagian leher dan kepala terkeluar dari buaian serta tergantung pada kain buaian, manakala badannya masih berada di dalam buaian.
“Ketika kejadian, dua pengasuh wanita berusia 29 dan 37 tahun berada di dalam premis terbabit bersama 15 bayi serta kanak-kanak lain yang berumur dalam lingkungan enam bulan hingga tujuh tahun, termasuk mangsa.
“Mayat mangsa sudah dihantar untuk bedah siasat dan siasatan masih diteruskan,” katanya.
Leave a Reply