“Beli Bot Nelayan” Ini Antara Perancangan Tiro Selepas Dapat Duit Kemenangan Buat Ramai Tersentuh

Kumpulan Tiro dianggotai Danial Zaini, Sharif, Syaiful akui tidak menyangka akan bergelar juara Maharaja Lawak Mega (MLM) 2021.

Tambahan lagi kata Tiro, persembahan mereka pada minggu lalu tidak begitu baik dan hampir tersingkir apabila berada di kedudukan ketiga terendah.

“Sungguh kami tak sangka rezeki berpihak kepada Tiro pada malam ini. Kami akui ada banyak kelemahan dalam persembahan minggu lalu.

“Perkara tersebut antara pemangkin semangat buat Tiro untuk kembali bangkit pada minggu ini,” kata Tiro ketika ditemui Gempak.

Ditanya mengenai wang kemenangan RM500,000 Tiro berkata mereka sudah mempunyai perancangan masing-masing.

Menurut Danial, dia mahu menunaikan impian ibu mengerjakan haji dan umrah termasuk menghadiahkan sebuah rumah.

“Niat saya kalau menang nak bawa pergi haji dan umrah dengan emak. Saya juga nak bina sebuah rumah impian untuk beliau di Pulau Pinang,” kata Danial.

Sementara itu Syaiful pula sedang dalam perancangan untuk membeli beberapa buah bot nelayan untuk kegunaan penduduk kampungnya di Kudat, Sabah.

“Saya merancang untuk membeli bot nelayan dan kosnya mencecah RM100,000. Insya-Allah dengan wang kemenangan yang akan diperolehi nanti impian saya akan menjadi kenyataan.

“Sekurang-kurangnya para nelayan di kampung kami nanti dapat ke laut dengan lebih selesa dengan bot baharu nanti.

“Saya juga sedang merencana sesuatu untuk para nelayan menjana pendapatan mereka,” katanya.

Sharif juga sudah memasang niat untuk memberi sumbangan kepada beberapa buah rumah kebajikan dengan wang kemenangan yang diperolehi.

“Niat saya nak gunakan sebahagian daripada duit itu untuk disalurkan kepada mereka yang memerlukan. Saya dan Syaiful juga ada pasang impian untuk mengerjakan umrah.

“Semoga apa yang kami hajatkan menjadi kenyataan,” katanya.

Selain wang tunai RM500,000, Tiro turut menerima Anugerah Lawak Pedas Tak Ingat Adabi menerima wang tunai berjumlah RM1000 produk Adabi bernilai RM500 kerana mendapat markah tertinggi daripada juri.

Gelek Danial Zaini tiru M Daud Kilau menjadi… Tiro juara Maharaja Lawak Mega 2021

Pada persembahan kedua bertemakan muzikal komedi, Tiro berjaya menggamatkan PICC menerusi persembahan bertenaga apabila Danial tampil meniru gaya dan nyanyian penyanyi veteran dengan jolokan Raja Gelek Malaysia, Datuk M Daud Kilau.

Mengangkat tema memartabatkan budaya Malaysia di mata dunia, persembahan Tiro turut menerima standing ovation daripada barisan juri iaitu Datuk Rosyam Nor, Diana Danielle serta Noh Salleh.

Sementara itu tempat kedua pula menjadi milik kumpulan Puteh yang dianggotai Mamak, Vicha dan Ali.

Mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM250,000 berserta trofi.

Sementara Boro yang dianggotai oleh Achey, Atu dan Fad mendapat tempat ketiga dan melayakkan mereka membawa pulang RM150,000 berserta trofi.

Dalam perkembangan sama, kumpulan Bahye dan Tobat masing-masing mendapat tempat keempat dan kelima turut membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000 dan RM15,000 berserta trofi.

Pada pertandingan akhir itu, kesemua peserta perlu membuat dua persembahan iaitu bertemakan bebas dan muzikal komedi.

Datuk Rosyam Nor dipilih sebagai ketua juri dengan dibantu Noh Salleh, Uqasha Senrose, Diana Danielle dan bersama Shaarnaz Ahmad sebagai juri yang diberi nama Sang Bara.

Juri profesional menyumbang markah sebanyak 70 peratus kepada peserta.

Manakala 30 peratus markah lagi berdasarkan undian penonton yang dilakukan secara dalam talian.

MLM 2021 dihoskan oleh Datuk AC Mizal dan disiarkan nenerusi Astro Warna HD (107) dan juga boleh distrim melalui Astro GO dan On Demand.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*